Refleksi 1- Laut Dan Nelayan

Naqib meminta kami memerhati dengan penuh penghayatan dengan melemparkan pandangan nun jauh ketengah laut. Beliau bertanya kepada setiap dari kami tentang 2 benda yang kami dapat lihat dihadapan kami. “Hmm… ni ke sebabnya kami dibawa berusrah di tepi pantai..?” hatiku berbicara…  ada yang memberi jawapan mereka dapat lihat ombak dan nelayan… ada yang melihat nelayan dan perahu… ada yang melihat burung-burung dan peraih… dan aku? Aku melihat Pulau Kecil dan awan… Kenapa itu yang menjadi pilihan? Kerana, padaku, ingin sekali aku menggapai awan, dan bertanya kepada awan…
“Wahai awan makhluk ciptaan Allah yang bisa terawang-awang dilangit bumi… yang menjadi pemerhati segala kejadian dan perilaku manusia yang tidak pernah rasa bersyukur… Ajarkan padaku erti syukur dengan nikmatNya.. Ajarkan pada manusia yang selalu sombong dengan TuhanNya… Kerana engkau lebih gah diatas sana… tetap sentiasa bersyukur dengan pemberianNya… dan tidak pernah sombong dan angkuh dalam memilih jalan untuk dekat dengan Rabbuna fil ‘alamin…”
Pulau kecil yang bersendiri ditengah lautan, ingin sekali aku bertanya padanya, “Kenapakah kau memilih untuk mengasingkan diri? Apakah engkau tidak sanggup melihat kemungkaran manusia terhadap Tuhannya? Adakah engkau sedih akan perilaku hamba yang digelar manusia yang berkali-kali ingkar kepada perintahNya? Betulkah engkau tidak sanggup berada dekat dengan dataran ini yang penuh dengan maksiat dan arak yang semakin hari semakin banyak dan berleluasa? Adakah kerana engkau tidak mampu untuk mengubahnya, lalu engkau bersendiri dengan ber’uzlah daripada kaum yang sentiasa bermaksiat bukan dengan Rabbuna fil ‘alamin…?”
Hmm..berat sekali hati dan fikiran ini berteka-teki  tanpa mengetahui apakah yang sedang awan dan pulau kecil itu fikirkan dan lakukan… Malunya aku sebagai manusia… kerana manusia itu angkuh, lalu menerima tawaran Yang Esa untuk menjadi Khalifah dimuka bumi, biarpun gunung yang terpasak megah itu menolakNya…  Walaupun demikian, Alhamdulillah jika manusia bisa mentadbir bumi dengan membawa semuanya kembali kepadaNya… tapi sebaliknya tidak..! aku malu dengan awan dan pulau kecil itu… kerana aku manusia, malah seorang muslimah yang bakal melahirkan manusia… apakah akan aku bisa melahirkan dan mendidik insan yang bakal membawa manusia mendekatkan diri pada Rabbul Jalil…? Atau aku yang menjadi penyebab lahirnya generasi manusia yang angkuh dan sombong terhadap Rabbuna wa Rabbu abaa ikum…? Hmm… betul-betul aku malu dengan awan dan pulau kecil itu…
Memerhati dan berbicara dengan alam lebih menenangkan… walaupun mereka tidak bisa berbicara… kerana mereka tidak pernah, dan tidak  akan menyakitiku… mereka tetap sudi menjadi temanku… tetap sudi mendengar luahan dari hatiku… tetapi kalau manusia, biarpun mereka satu spesis denganku… sentiasa menyakitiku… zahir dan batin… hmm.. mungkin sebab tu la kot kalo raya, mesti orang mintak maaf zahir dan batin…
Pengajaran yang dapat kita peroleh dari sesi ini, adalah penghayatan dalam mendekatkan diri bagi mencontohi ‘Ulul Albab’… hmm… belum layak lagi ana digelar itu… sangat jauh!

Rukun Usrah-Takaful

At-Takaful atau makna lainnya bantu-membantu atau berseimbangan merupakan rukun usrah yang ketiga selepas At-Ta’aruf (berkenalan) dan At-Tafahum(bersefahaman). Dasar At-Takaful hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk memikul bersama-sama bebanan masalalah atau apa sahaja yang diluahkan oleh rakan-rakan dalam kelompok usrah itu. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwwah yang sejati. Kelompok usrah yang mengamalkan rukun At-Tafakul ini hendaklah sentiasa bertanya khabar, ziarah-menziarahi, dan saling tolong-menolong antara anggota usrah tersebut.

Naqib/Naqibah serta ahli usrah mesti bertanggungjawab menjaga kerahsiaan setiap ahli usrah. Ini akan dapat membantu, ahli usrah mempercayai satu sama lain dan akan rasa satu jalinana keterikatan terhadapa usarah tersbut.



Sabda Rasullulah Sallallahu ’alaihi wasallam yang maksudnya:

”Sekiranya seseorang kamu berjalan kerana hendak menolonmg saudaranya, itu adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf selama sebulan di masjid ku ini.”

 -S_D-

Muhammad ibn Maslamah


Muhammad ibn Maslamah ialah seorang sahabat dari golongan Ansar yang mempunyai tubuh yang besar jika dibandingkan dengan para sahabat yang lain. Bersifat pendiam dan serius. Dia dipersaudarakan oleh Rasulullah dengan Abu Ubaidah Al Jarrah.

Jasa dan Sumbangannya

Antara jasanya ialah berjaya menghapuskan salah seorang pemuka kaum Munafiq Madinah. Nabi Muhammad menggelarkan beliau sebagai Pahlawan Rasulullah. Kerana sikap amanahnya dan jujur serta tegas dalam menjalankan tugas, dia dilantik menjadi pembantu kanan ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab dalam mengawasi perilaku dan keperibadian wakil khalifah di seluruh negara.

Ketika berlakunya Perang Jamal dan Perang Siffin, beliau bersikap berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Muhammad meninggal dunia pada bulan Safar tahun 46 Hijrah. Ketika itu beliau berumur tujuh puluh tujuh tahun.

-S_D-

MANHAJ USRAH

1. Mestilah ditegaskan bahawa islam dan ajarannya bersumber dari kitab suci al-Qur’an dan hadith Nabi saw sebagaiimana yang difahami dan diambil dari ulama’ yang muktabar.

2. Memberi penekanan terhadap tasawwur Islam dan penekanan bahawa Islam adalah satu sistem hidup (Nizamul hayat) atau ad-din yang sempurna.

3. Bahan-bahan usrah, hendaklah mengambil kira marhalah yang sepatutnya dilalui oleh ahli-ahli usrah.

4. Manhaj Usrah perlu mengandungi Tasawwur Aqidah yang kemas dan menyeluruh yang menjadi teras kepada perjuangan Islam.

5. Kandungan Usrah perlulah yang dapat memandu dan menyumbang ke arah pembentukan peribadi atau syakhsiah muslim dan pendakwah.

6. Kandungan usrah mestilah mengandungi perngatan untuk memelihara Islam sama ada secara fardi atau jamaie’.

7. Memberi penekanan terhadap ibadah-ibadah khusus dan amalan-amalan yang membina kerohanian seperti membanyakkan zikir, wirid mathurat, doa-doa, membaca al-Qur’an, menziarahi kubur dan sebagainya.

8. Kandungan Usrah mestilah mempunyai unsur-unsur pembentukan fikrah dakwah Harakah, dan siasah secara seimbang.

9. Menekankan panduan-panduan latihan kerja secara jamaie, seperti tanggungjawab memelihara amanah, berkorban, mematuhi arahan-arahan dan memberi wala’ dan ketaatan kepada pimpinan jamaah.

10. Menyediakan ruang-ruang buat ahli-ahli berinteraksi sesama sendiri bagi menguatkan ukhwah dan sanggup bermuhasabah, memperbaiki kelemahan, dan kekurangan yang ada dikalangan anggota dengan cara-cara yang baik.

Antara contoh manhaj usrah peringkat taarif

Pembinaan kefahaman asas islam

  1. PENGENALAN: USRAH TUNJANG TARBIYYAH
  2. AQIDAH TERAS PEMBENTUKAN PERIBADI
  3. HAKIKAT TAUHID
  4. SYAHADAH DAN TUNTUTANNYA
  5. IMAN: PANCARAN HATI DAN BUDI
  6. ISLAM SEBAGAI AD-DEEN
  7. KESYUMULAN IBADAH DALAM ISLAM
  8. PEMBENTUKAN AKHLAK MENURUT ISLAM

-MA_M-

Talhah ibn Ubaidillah

Nama sebenar beliau Uthman bin Amru. Berasal dari kaum QUraisy tetapi lain suku dengan Rasulullah s.a.w. Ibu beliau berasal dari Yaman.

Sebelum memeluk Islam, Talhah pernah ke Basrah dan bertemu seorang pendita. Pendita ini lah yang memberitahu kepada beliau akan datang seorang Nabi bernama Ahmad bin Abdullah in Abdul Mutalib. Setelah pulang ke Makkah, beliau bertemu Abu Bakr r.a dan mengadap Rasulullah untuk mengucap dau kalimah syahadah.

Antara kelebihan Talhah r.a adalah:
Orang terkaya dalam masyarakat Quraisy hasil dari perniagaannya.
Beliau sentiasa mengorbankan hartanya untuk kepentingan Islam. Agaknya mampukah kita menjadi seperti Talhah r.a ini? Sanggupkah mengorbankan harta untuk semata-mata untuk kepentingan Islam? Setelah berpenat lelah selama berpuluh tahun belajar dan bekerja?..
Talhah r.a juga seorang yang sangat sabar apabila diikat ibu sendiri setelah menyatakan keislamannya secara terangan.

Riwayat hidup sahabat besar Nabi Muhammad ini berakhir pada tahun 36 hijrah dalam perang Jamal.. Antara tahun yang penuh dengan fitnah dan ujian keatas ummat Islam pada masa itu hinggalah sekarang

Dengan selesainya kisah ringkas Talhah bin Ubaidillah ini, berakhirlah siri kisah 10 sahabat Nabi yang dijamin ahli syurga. Walaupun kisah berakhir, semangat dan kesan Islamnya tokoh dan 10 pahlawan ini masih terasa hingga sekarang.

Jika bukan kerana semangat jihad dan keazaman kuat yang ada pada mereka masakan kita berpeluang merasai nikmat iman dan Islam yang ada pada kita sekarang..

Merekalah yang sepatutnya menjadi sebutan kita setiap hari. Bukannya hero dalam drama Indonesia, Korea, jepun dan barat sekarang. Terlalu jauh beza darjat para pelakon berbanding sahabat Nabi s.a.w yang sentiasa dipuji dan disebut Allah dalam al-Quran sehingga ada dikalangan mereka dijamin ahli syurga..

Buat pengetahuan semua, bukan 10 sahabat ini sahaja yang dijamin syurga bagi mereka. Terdapat ramai lagi sahabat lain yang turut dijamin ahli syurga dan disebut secara berasingan dari hadith ini. Antaranya, keluarga Yasir, Bilal bin Rabah, Hanzalah dan Mus'ab bin Umair.

Kisah jihad dan iltizam mereka dalam memikul tugas dan syiar Islam sudah cukup untuk menjadi sumber inspirasi kita yang bergelumang dengan jahiliyyah moden.

Semoga sirah yang kita pelajari selama ini bukanlah menjadi senarai kisah sejarah yang dihafal semata-mata.. Sirah adalah contoh praktikal kehidupan aktivis dakwah, ahli ibadah, hamba Allah dan segala model contoh seorang Khalifah buat kita semua..

Siapakah kita berbanding sahabat-sahabat radhiallahu anhum? Kebaikan dan jasa mereka disebut berkali-kali dalam Al-Quran. Betapa besarnya pengorbanan mereka. Betapa harum dan mulianya mereka disisi Allah.

Ayuh bangunlah i/akhawat sekalian. Islah dan pembaharuan mesti dilakukan, jika bukan semalam, hari ini masih menunggu. Jika bukan hari ini, esok masih ada untuk kita terus berusaha. Jangan tunggu hingga kita berkata "Ya Allah apalah yang telah aku lakukan selama hidup di dunia sejenak yang lalu?".. Sesal kemudian tiada gunanya..


-MA_M-

RUKUN USRAH: 1. Berkenalan (taaruf)

Ia merupakan rukun pertama dan terpenting. Tanpanya tidak akan terhasil dua rukun selepasnya. Dengan taaruf inilah akan lahir perasaan kasih sayang dan merasai ukhuwwah Islamiyah yang sebenarnya. Ahli-ahli akan berusaha menghilangkan perkara yang boleh membawa kekeruhan dalam perhubungan.

Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan satu sama lain dan berkasih sayang dengan semangat cinta kepada Allah. Ahli usrah juga hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwwah sejati.

Setiap ahli usrah harus mengelakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwwah. Hal ini disebabkan:

a. Orang-orang Mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujurat; 26-10)

b. Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah belah.
(Ali-Imran; 3:103)

c. Orang Mukmin bagi orang Mukmin itu laksana bangunanyang sebahagiannya
memperkuatkan sebahagian yang lain.

d. Orang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.

e. Perbandingan orang-orang Mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam
perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksan badan yang satu.

Amali kepada rukun taaruf ini ialah:

a. Setiap ahli bertanya dirinya, sejauh mana dia pernah menziarahi rakan usrahnya.

b. Setiap ahli bertanya, adakah dia bertanya khabar ahli seusrahnya.

c. Adakah ada dalam hatinya, sahabat seusrahnya merupakan sahabat yang terbaik.

d. Adakah setiap ahli usrah mengenali ahli keluarga, nama anak-anak, tempat tinggal setiap ahli seusrahnya.

e. Adakah setiap ahli usrah membalas kunjungan balas ziarah setiap ahli usrahnya.

-MF_MN-

Abu Dzar al-Ghifari

Abu Dzar al-Ghifari merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan perbendaharaan ilmu pengetahuannya dan kesolehannya. Ali RA berkata mengenai Abu Dzar RA: “Abu Dzar ialah penyimpan jenis-jenis ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi dari orang lain.”

Ketika dia mulai mendengar khabar tentang kerasulan Nabi SAW, dia telah mengutus saudara lelakinya menyelidiki lebih lanjut mengenai orang yang mengaku menerima berita dari langit. Setelah puas menyelidiki, saudaranya pun melaporkan kepada Abu Dzar bahawa Nabi Muhammad SAW itu seorang yang sopan santun dan baik budi pekertinya. Ayat-ayat yang dibacakan kepada manusia bukannya puisi dan bukan pula kata-kata ahli syair.

Laporan yang disampaikan itu masih belum memuaskan hati Abu Dzar. Dia sendiri keluar untuk mencari kenyataan. Setibanya di Makkah, dia terus ke Baitul Haram. Pada waktu itu dia tidak kenal Nabi SAW, dan melihat keadaan pada waktu itu dia merasa takut hendak bertanya mengenai Nabi SAW. Ketika menjelang malam, dia dilihat oleh Ali RA. Oleh kerana ia seorang musafir, Ali terpaksa membawa Abu Dzar ke rumahnya dan melayani Abu Dzar sebaik-baiknya sebagai tamu. Ali tidak bertanya apa pun dan Abu Dzar tidak pula memberitahu Ali tentang maksud kedatangannya ke Makkah. Pada keesokkan harinya, Abu Dzar pergi sekali lagi ke Baitul Haram untuk mengetahui siapa dia Muhammad. Sekali lagi Abu Dzar gagal menemui Nabi kerana pada waktu itu orang-orang Islam sedang diganggu hebat oleh orang-orang kafir musyrikin. Pada malam yang keduanya, Ali membawa Abu Dzar ke rumahnya.

Pada malam itu Ali bertanya: “Saudara, apakah sebabnya saudara datang ke kota ini?”

Sebelum menjawab Abu Dzar meminta Ali berjanji untuk berkata benar. Kemudian dia pun bertanya kepada Ali tentang Nabi SAW. Ali berkata: “Sesungguhnya dia lah pesuruh Allah. Esok engkau ikut aku dan aku akan membawamu menemuinya. Tetapi awas, bencana yang buruk akan menimpa kamu kalau hubungan kita diketahui orang. Ketika berjalan esok, kalau aku dapati bahaya mengancam kita, aku akan berpisah agak jauh sedikit dari kamu dan berpura-pura membetulkan sepatuku. Tetapi engkau terus berjalan supaya orang tidak curiga hubungan kita.”

Pada keesokkan harinya, Ali pun membawa Abu Dzar bertemu dengan Nabi SAW. Tanpa banyak tanya jawab, dia telah memeluk agama Islam. Kerana takut dia diapa-apakan oleh musuh, Nabi SAW menasihatkan supaya cepat-cepat balik dan jangan mengkhabarkan keislamannya di khalayak ramai. Tetapi Abu Dzar menjawab dengan berani: “Ya Rasullulah, aku bersumpah dengan nama Allah yang jiwaku di dalam tanganNya, bahawa aku akan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kafir-kafir musyrikin itu.”

Janjinya kepada Rasulullah SAW ditepatinya. Selepas ia meninggalkan baginda, dia mengarah langkah kakinya ke Baitul Haram di hadapan kaum musyrikin dan dengan suara lantang dia mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”

Tatkala mendengar ucapan Abu Dzar itu, orang-orang kafir pun menyerbunya lalu memukulnya. Kalau tidak kerana Abbas, bapa saudara Nabi yang ketika itu belum Islam, tentulah Abu Dzar menemui ajalnya di situ.

Kata Abbas kepada orang-orang kafir musyrikin yang menyerang Abu Dzar: “Tahukah kamu siapa orang ini? Dia adalah keturunan Al Ghifar. Khafilah-khafilah kita yang pulang pergi ke Syam terpaksa melalui perkampungan mereka. Kalaulah ia dibunuh, sudah tentu mereka menghalangi perniagaan kita dengan Syam.”

Pada hari berikutnya, Abu Dzar sekali lagi mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan orang-orang kafir Quraisy dan pada kali ini juga ia telah diselamatkan oleh Abbas.

Keghairahan Abu Dzar mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan kafir Quraisy sungguh-sungguh luar biasa jika dikaji dalam konteks larangan Nabi SAW kepadanya. Apakah dia boleh dituduh telah mengingkari perintah Nabi? Jawabannya tidak. Dia tahu bahawa Nabi SAW sedang mengalami penderitaan yang berbentuk gangguan dalam usahanya ke arah menyebarkan agama Islam. Dia hanya hendak menunjukkan Nabi SAW walaupun ia mengetahui, dengan berbuat demikian dia melibatkan dirinya dalam bahaya. Semangat keislamannya yang beginilah yang telah menjadikan para sahabat mencapai puncak keimanan dalam alam lahiriyah serta batiniyah.

Keberanian Abu Dzar ini selayaknya menjadi contoh kepada umat Islam dewasa ini dalam rangka usaha mereka menjalankan dakwah Islamiyah. Kekejaman, penganiyaan serta penindasan tidak semestinya boleh melemahkan semangat mereka yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sumber : Buku Rijal Haular Rasul (Khalid Muh.Khalid)

-MF_MN-