Usrah dalam konteks kampus adalah sebuah keluarga. Keluarga diertikan dalam bahasa Arab sebagai usrah. Dari segi istilah, bermaksud kumpulan individu muslim (afradul muslimin) yang beriman dengan Allah SWT, berusaha tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam. Usrah membentuk suatu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islam dan terjalin dengan suatu ikatan persaudaraan (ukhuwwah Islamiyyah). Usrah juga merupakan medan pendidikan (tarbiyyah) sebagai usaha membentuk generasi yang sanggup hidup dan mati memperjuangkan Islam. ( Usrah Dan Dakwah – Imam Hassan Al – Banna ).
Dalam erti kata lain hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang hubungan sesama anggota usrah adalah lebih akrab daripada hubungan saudara sekeluarga. Manakala makna istilah yang disebut oleh ulama, diertikan juga sebagai satu gerakan sekumpulan individu Islam yang beriman kepada Allah, berusaha untuk tolong-menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam. Mereka ini melakukan kerja-kerja Islam sebagai menyahut seruan Allah swt:
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (103:3).
Kesimpulannya, usrah adalah satu komuniti atau sekelompok kumpulan yang bersih dan suci hatinya untuk mencari redho Allah s.w.t dengan matlamat dan kehendak yang satu dan semangat serta halatuju yang sama. Selain itu usrah juga adalah merupakan medan untuk ahli gerakan usrah bertukar tukar fikiran bagi mengatasi atau melaksanakan sesuatu demi kepentingan Agama Islam.
0 comments:
Post a Comment