Kelemahan dalam Pengendalian Usrah

Usrah dianggap sebagai tunjang tarbiyyah gerakan Islam kerana ciri-cirinya yang tersendiri yang mampu menjadi wasilah yang paling berkesan dalam mencapai matlamat tarbiyyah gerakan Islam. Namun kerap juga berlaku usrah yang dibuat agak kurang tercapai objektif pelaksanaannya disebabkan beberapa kelemahan yang berlaku dalam pengendalian usrah itu sendiri.

Kata kunci bagi permasalahan atau kelemahan dalam pengendaliam usrah adalah NAQIB. Walaupun tidak dinafikan turut wujud faktor-faktor lain namun kelemahan yang berpunca daripada kelemahan naqib atau naqibah adalah faktor terbesar. Dalam banyak hal usrah menjadi kurang berkesan, antaranya kerana masalah-masalah berikut:

1) Naqib gagal memahami makna sebenar di sebalik usrah

Usrah sebagai satu sistem “keluarga” dengan rukun-rukunnya perlulah dihayati sedari awal pembentukan usrah itu lagi. Bagi memenuhi makna “keluarga” dan rukun-rukun usrah ini, adalah mustahil untuk memupuknya jika usrah hanya berlaku dalam majlis halaqah yang diadakan sekali seminggu atau dua minggu sekali. Para naqib yang gagal memahami makna usrah ini kebiasaannya menjadikan usrah itu hanya sebagai satu medan pengajian semata-mata, atau dengan kata lain, “mengurung” usrah dalam majlis-majlis halaqah seumpamanya.

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan sahabat-sahabat penggerak usrah yang mengatakan, “usrah sebenar bukan bermula dengan bacaan Al-Fatihah dan diakhiri dengan tasbih kaffarah, tetapi dimulakan dengan tasbih kaffarah dan diakhiri pula dengan bacaan Al-Fatihah.” Ianya relevan memandangkan para naqib selalu memberikan alasan “terlepas pandang” dalam perkara ini.

Memang ada naqib yang mampu membina suasana ukhwah hanya melalui majlis halaqah usrah, tapi persoalannya seramai mana? Justeru usrah haruslah dipandang daripada sudut yang lebih luas bukan hanya menjurus dalam majlis halaqah semata-mata.

2) Naqib silap memahami objektif perlaksanaan usrah

Objetif pelaksanaan usrah boleh berbeza bergantung kepada dasar jamaah. Namun objektif atau matlamat asasnya sama. Aspek yang berbeza ini mengkin kita boleh namakan sebagai objektif khusus. Matlamat ini akan berkait rapat dengan pengisian yang bakal dibuat dalam usrah nanti.

Matlamat umum usrah yang pertama adalah membentuk peribadi muslim dalam individu muslim itu sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian pertama buku Apa Erti Saya Menganut Islam karangan Almarhum Ustaz Fathi Yakan. Selari dengan itu penekanan terhadap penghayatan rukun usrah hendaklah sentiasa dilakukan bagi memastikan ikatan ukhwah sesama ahli terus utuh. Seterusnya barulah ia akan mula menjurus kepada matlamat khusus.

Kebiasaannya naqib memandang usrah sebagai majlis menghabiskan tsaqafah, lalu jadilah majlis usrah itu satu majlis yang kaku. Apabila keluar daripada majlis apa yang diperoleh daripada naqib mungkin hilang begitu sahaja.

3) Naqib tidak mengenal mad’u

Sebahagian usrah mungkin berjalan dalam keadaan naqib tidak mengenal latar-belakang mad'u, seperti keluarga, taraf pendidikan, pengalaman, ilrnu pengetahuan, dan seumpamanya. Keadaan seumpama ini boleh menyebabkan usrah berjalan dengan naqib kurang peka terhadap ahli-ahli usrah yang berada di bawah bimbingannya. Hasilnya, naqib mungkin gagal mencari pendekatan paling sesuai untuk menyampaikan agenda usrah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada kurangnya penekanan terhadap proses ta’aruf.

4) Naqib tidak membuat persediaan dan kajian terhadap bahan usrah

Sebahagian naqib menghadiri majlis usrah dalam keadaan tidak membuat persediaan atau kajian terhadap bahan-bahan yang akan disampaikan dan dibincangkan dalam usrah. Kebiasaan ini menyebabkan ia tidak berjaya menyampaikan bahan-bahan tersebut secara teratur dan berkesan. Atau ia mungkin menyampaikan sesuatu yang sama sekali berlainan dari maksud dan tujuan bahan-bahan atau tajuk-tajuk yang diperkatakan.

Dengan demikian, usrah tersebut akan gagal atau memberi manfaat yang sangat sedikit. Hal ini jika dibiarkan berterusan tentulah sangat merugikan.

5) Naqib tidak segera menyelesaikan masalah

Antara tanggungjawab para naqib ialah sentiasa peka kepada pelbagai masalah yang timbul di kalangan anggota usrah dan bertindak segera menyelesaikannya. Jika timbul sesuatu masalah jangan sekali-kali ia menangguh-nangguhkan waktu, sehingga masalah kian kusut dan bertukar menjadi parah.

Pengabaian oleh sebahagian naqib dalam hal ini boleh menyebabkan anggota-anggota tercicir daripada usrah atau merenggangkan ukhwah, tidak berpuas hati, keliru, kecewa, marah atau mungkin tawar hati dan hilang keyakinan kepada usrah.

Oleh itu para naqib mestilah berusaha memahami segala permasalahan yang timbul dan cuba menyelesaikannya secara bijaksana. Mungkin dalam keadaan tertentu ia memerlukan bantuan dari sahabat-sahabat yang lebih berpengalaman, dihormati atau mempunyai keistimewaan tertentu.

6) Naqib tidak peka akan isu semasa

Sebahagian naqib tidak mengikut perkembangan isu-isu semasa. Dengan demikian ia gagal memberikan penjelasan atau maklumat yang benar dan memuaskan apabila keadaan memerlukan ia berbuat demikian. Keadaan ini tidak membantu melahirkan ahli-ahli usrah yang peka atau sensitif terhadap peristiwa-peristiwa dan isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan umat Islam dan negara secara langsung atau tidak langsung.

Setiap naqib seharusnya terlebih dahulu mesti memiliki daya sensitiviti dan kepekaan yang tinggi terhadap perkembangan sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan apa sahaja yang melibatkan kepentingan umat. Hal ini penting dalam menyatukan pendirian dan sikap ahli-ahli usrah terhadap isu-isu berkenaan.

7) Halaqah usrah tidak bersifat mutawasil

Naqib seharusnya memastikan halaqah usrah dijalankan secara mutawasil atau berterusan (rujuk: Usrah & Kepentingannya dalam Tarbiyah, Manhaj Daurah Tadribiyah) dan istiqamah dalam jangka masa seminggu sekali atau dua minggu sekali. Jika terlepas hendaklah diganti waktu yang terlepas itu. Hal ini adalah bagi memastikan ahli-ahli usrah sentiasa mendapat pengisian secara tetap dan seterusnya mencapai kesan yang diharapkan.

Apabila naqib mengabaikan persoalan ini, akan timbul perasaan ahli-ahli usrah bahawa usrah ini kurang penting, berasa berat untuk hadir apabila diadakan usrah setelah lama ianya tidak diadakan, dan pelbagai kesan lain.

Kesimpulan

Peranan para naqib amat penting dalam menggerakkan usrah serta kecekapan pengurusannya. Naqib sebagai moderator usrah pasti akan sentiasa menjadi titik rujuk ahli-ahli usrah yang lain. Justeru, naqib harus memastikan apa yang bakal disampaikan dalam usrah nanti terlebih dahulu dihayati olehnya sendiri. Naqib itu sendiri hendaklah berakhlaq dengan akhlaq Islamiyah, berdisiplin, dan istiqamah. Semoga perkongsian yang sedikit ini mampu memberikan manfaat buat semua dan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.

-Muhammad ibn Murad-


0 comments: