Refleksi (H_R)

REFLEKSI 1

Melalui usrah yang dijalankan di pantai, banyak pengajaran yang diterima juga pendedahan mengenai dunia selepas alam kampus, rupanya terlalu banyak cabaran yang memanti dihadapan sana. Sama sepertinya ombak yang datang memukul pantai tidak kira waktu surut mahu pun pasangnya laut, ketika kemarau mahupun tengkujuh melanda. Ombak sentiasa datang tidak kira masa, waktu teguh bersama jemaah mahupun surutnya semangat, ketika diambang kejayaan kerjaya mahupun krisis melanda. Ombak yang memukul bisa sahaja menyesatkan namun bisa juga menjadi pemangkin munuju laluan yang betul, bergantung kepada cara bagaimana kita menghadapinya. Ibaratnya nelayan ditengah lautan yang menghadapi ombak tersebut, bergantung kepada diri bagaimana untuk mengemudi kapal samada menggunakan ilmu dan pengalaman yang sedia ada ataupun mengambil pengalaman orang terdahulu. Begitu juga tingginya kebertanggungan nelayan kepada penciptanya, sanggup meredah ombak kerana yakin rezekinya ada disitu. Adakah aku bisa melalui hidup ini setegar nelayan di laut?? Yang meletakkan sepenuh pengharapan hanya kepadaNya. Bisakah aku meneruskan perjalananku di jalan yang ini? Ataupun terpesong dibawa arus ilusi. Ya Allah bimbinglah kami ini.

Dalam aktiviti kedua merupakan satu pengalaman yang lucu bagiku kerana, Kata orang malu bertanya sesat jalan tapi lain pula jadinya dengan Peah dan Joyah, walaupun dah bertanya tapi tetap juga sesat jalan. Ini kerana bertanya sahaja tidak menjamin kebenaran jalan, pemahaman dan juga kepekaan perlu diambil kira begitu jugalah yang terjadi pada Peah dan Joyah disuruh cari siput atau batu karang tapi dicari kedua-duanya. Dalam aktiviti ini jugalah kita dapat melihat kekuasaan Allah yang menciptakan alam ini. Dia jadikan siput dan batu karang yang setiap satunya berbeza-beza namun merupakan spesis yang sama. Sama jugalah sepertimana Allah menciptakan kejadian manusia, setiap seseorang itu berbeza tidak kiralah dari sudut fizikal mahupun sikap hatta kembar sekalipun. Dalam konteks kehidupan, kita perlu jadikan perbezaan ini bukannya sebagai satu halangan tapi merupakan satu cabaran. Terutamanya hidup dalam berjemaah, kita perlu meraikan dan menghargai perbezaan setiap sahabat-sahabiah dan menyusunnya menjadi kekutan dalam jemaah, inilah yang dikatakan sebagai variasi. Perbezaan inilah sebenarnya yang menyatukan hati-hati kita, kerana perbezaan ini jugalah kita dapat bersama sehingga sekarang.

Dalam pembentangan SWOT “partner” masing-masing hasil daripada usrah fardhi yang telah dilakukan, melalui pandangan tidak semua kelemahan dan ancaman yang ada pada diri akan membawa ke arah yang negatif begitu juga tidak semua kelebihan dan peluang yang ada akan membawa kearah yang positif, boleh sahaja perkara yang sebaliknya berlaku bergantung kepada bagaimana kita kreatif menghadapi setiap satunya. Melalui aktiviti ini jugalah kita dapat mengetahui cara yang sesuai untuk meminimumkan setiap kelemahan dan ancaman yang kita hadapi dan memaksimumkan kelebihan juga peluang yang ada hasil daripada analisis, pemerhatian dan pandangan sahabat lain terhadap diri kita untuk terus bergerak kerja dalam jemaah. Hasilnya kita sendiri dapat melihat sejauh mana kita boleh pergi jika kita melaksanakan dan mengimplimentasikan pandangan mereka terhadap diri. Maha Suci Allah ku bersyukur kepada-Mu yang menemukan aku dengan jawapan yang kucari-cari selama ini sehingga membawaku kepada keluarga ini. Ya Allah kembangkanlah lembayung rahmat-Mu kepada kami.

REFLEKSI 2

Hasil usrah di Taman Damai memberikan aku makna pembelajaran dan pengajaran yang seiringan, pembelajaran menjadikan kita seorang yang yang berpengetahuan tapi kita sering mengabaikan pengajaran. Kita hanya tahu tapi kita tidak amalkan. Sama jugalah kesnya sepertimana pengabaian masa yang terjadi dalam usrah ketiga. Kita semua sedar bahawa masa itu emas (pembelajaran), namun kita juga yang mengabaikannya, kita tidak menjadikannya sebagai pengajaran untuk sentiasa disiplin terhadap masa- untuk renungan bersama. Sedar atau tidak sikap inilah sebenarnya yang menyebabkan kelembapan perkembangan aktivis di kawasan, siapa lagi yang perlu ubah kalau bukan kita, sampai bila kita perlu berada ditangkuk yang lama. Kita dah disedarkan dan disentak berkali-kali mengenai hal ini, namun mengapa berulang lagi??? Bersama-sama kita koreksi diri mencari paradigma sebagai solusi.

Berdasarkan penceritaan semula kisah tokoh-tokoh tabi’in oleh sahabat-sahabat sebenarnya menyingkap kelemahan diri. Walaupun dikatakan ciri-ciri tersebut ada persamaan dengan diri kita, tapi hakikatnya jauhnya perbezaannya. Melalui sirah tokoh-tokoh ini kita dapat mengetahui ramai tokoh-tokoh islam dan sumbangan mereka di dalam perkembangan islam. Kita juga dapat bertukar-tukar pandangan dan membuat pengkajian semula jika terdapat fakta yang bercanggah. Seperti kisah Hindun yang diceritakan sebagai ketua muslimat, adalah tokoh yang berlainan dengan kisah Hindun yang dikenali sebagai ‘wanita pemakan hati’. Disini, kita dapat menambahkan pengetahuan mengenai tokoh terdahulu, disamping dapat mengenali sikap sahabat yang mempunyai persamaan dengan tokoh yang mereka pilih.

Kesimpulannya, setiap usrah yang telah dilalui memberikan banyak input tidak kiralah secara langsung ataupun tidak langsung, samada sebelum semasa ataupun selepas usrah. Ahli usrah perlu memainkan peranan untuk mengasah pemikiran juga potensi diri untuk mencari posisi yang sesuai di dalam jemaah. Ketelusan boleh sahaja dicapai jika semua ahli bersedia untuk diubah dan merubah diri kearah yang lebih baik. Di sinilah medannya, inilah proses transisi untuk kita melangkah keluar ke dunia yang lebih luas, ambil segala input sebagai bekalan kita di masa hadapan.


-H_R-

0 comments: