Di Hadapan Laut
Pagi yang indah itu, selepas mengisi perut dengan 2 bungkus nasi lemak dan air kotak soya bean, kami terus ke persisiran pantai dan berdiri sambil menghadap ke laut. Maha Suci Allah yang segala keindahan dan kecantikan itu adalah milikNya. Memandang ke laut yang membiru, ombak yang memukul pantai sudah cukup untuk merasakan diri ini hina di hadapan sang Pencipta. Ombak yang tidak pernah berhenti dari mengingati PenciptaNya dan laut yang sentiasa berbakti kepada manusia yang ingin mencari rezeki, tetapi aku tetap dengan diriku yang tiada apa-apa, adakah aku ini layak untuk mencium bau syurgaMu Ya Allah. Pandangan mata teralih kepada sekumpulan nelayan yang sedang bekerja, begitulah rutin harian si nelayan, menangkap hasil laut lalu dijual kepada peraih-peraih yang sudah sedia menanti di persisiran pantai.
Suka untuk aku berkongsi mengenai kisah si nelayan ini yang menjadikan laut sebahagian dari kehidupannya. Setiap kali turun ke laut dengan berbekalkan azam yang tinggi untuk mendapat hasil yang banyak. Mereka sedar bahawa hari ini tidak mungkin sama dengan semalam, cabaran dan rintangan yang akan dilalui hari ini tiada siapa yang tahu melainkan Pencipta Semesta Alam. Mereka meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah agar hari ini lebih baik dari yang semalam, tetapi ujian Allah itu tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia. Kisah nelayan ini begitu sinonim dengan sifat seorang daie yang telah berjanji untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini. Melihat kepada kepayahan si nelayan begitu jugalah kepayahan seorang daie yang semangatnya berkobar-kobar demi agama Islam yang tercinta. Cabaran dan rintangan yang dilalui hanya disandarkan kepada Allah kerana keyakinan kepada janji yang Allah kalamkan dalam Al-Quran itu sudah cukup untuk menguatkan seorang daie meneruskan langkah demi mencapai matlamat. Manusia diciptakan Allah dengan berbeza-beza rupa dan bentuk agar kita berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain begitu juga halnya dengan batu karang dan spesis hidupan laut yang lain. Batu karang juga mempunyai perbezaan bentuk dan warna, mereka hidup bersama-sama di lautan dengan aman dan harmoni. Tetapi, mengapa manusia tidak dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni? Mengapa perbezaan yang Allah ciptakan itu menjadi titik kepada pemisah sesuatu hubungan yang kuat? Sebagai manusia yang dianugerahkan akal, setiap perbezaan itu perlu diraikan agar keharmoniaan dapat dicapai, begitu juga dengan perbezaan dari sudut pendapat dan pandangan. Selagi mana semua daie itu berpegang kepada satu matlamat yang sama, semua perbezaan pemikiran itu akhirnya membawa kita kembali bersatu.
Sebagai individu muslim, seharusnya kita mengenali diri sendiri dari dalam mahupun luaran. Melalui analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman), kita dapat menilai diri dan cuba memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri ke arah yang lebih baik. Sebagaimana kata ustaz, maksimumkan kekuatan, minimumkan kelemahan dan bagaimana ancaman yang kita hadapi dari luar itu dapat menjadi peluang untuk kita terus mengharungi kehidupan. Begitulah cerita ‘di hadapan laut’ yang memberi pengajaran yang tinggi kepadaku. Thank you Allah, yang memberikan aku sahabat-sahabat yang membawa aku kembali ke jalanMu dan meletakkan aku dalam keluarga yang mempunyai seorang naqib. Dari kata-katanya, aku mendapat ilmu yang sangat berguna untuk masa hadapan.
-NI_N-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment