"Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah."
"Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar, Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah."(Hadith)
Abu Ubaidah bin Al-Jarrah atau nama sebenarnya Amir ibn Abdullah ibn Al-Jarrah bin Hilal Al-Fihri Al-Quraisy merupakan salah seorang Muhajirin yang hadir semasa Tsaqifah Bani Sa'idah. Beliau berasal dari suku al-Harith ibn Fihr daripada qabilah Quraisy yang terhormat. Abu ‘Ubaidah merupakan antara sahabat Rasulullah yang terawal memeluk Islam selepas Abu Bakar r.a. Beliau merupakan antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah, dan kemudian ke Madinah.
Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga. Berperawakan tinggi, tampan, kurus, berwibawa, bermuka ceria, selalu merendah diri dan amat pemalu. Kerana itu beliau disenangi oleh mereka yang mengenalinya.
Setelah menjadi pengikut Nabi Muhamad s.a.w, Abu Ubaidah Al-Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah s.a.w. terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al-Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah s.a.w. memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”.
Beliau juga dikenali oleh orang Islam dan Yahudi Madinah pada ketika itu sebagai perunding dan pembuat keputusan yang terbaik di kalangan para sahabat.
Suatu hari datang satu rombongan dari Najran menemui Rasulullah s.a.w. lalu meminta baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar agama Islam. Rasulullah s.a.w. berjanji akan menghantar seorang sahabat yang gagah dan jujur. Sehubungan dengan itu Umar al-Khattab r.a. berharap beliau yang akan dipilih Rasulullah s.a.w. tetapi orang yang berani dan jujur yang dimaksudkan itu ialah Abu Ubaidah al Jarrah r.a.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Abu Ubaidah merupakan antara calon pilihan Abu Bakar r.a. untuk menjadi khalifah bersama Umar r.a. Namun umat Islam ketika itu sepakat untuk memilih Abu Bakar sebagai Khalifah Rasulullah yang pertama.
Salah seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Khalid Al-Walid r.a. segan dan kagum akan kehebatan dan karisma beliau. Sehingga dalam peperangan menentang Rom Byzantine, sewaktu proses penyerahan tugas dari Abu Ubaidah kepada Khalid, Khalid berkata, "Demi Allah, kalau tidak kerana mematuhi arahan khalifah, aku tidak akan memerintahkan kamu ataupun berada di atas kamu. Engkau lebih mulia dari aku. Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang sahabat Nabi. Tapi kamu adalah yang dihormati. Kamulah yang baginda panggil 'Penjaga Amanah Umat'."
Selepas kewafatan Abu Bakar r.a. di bawah pemerintahan khalifah Umar al-Khattab r.a. Abu Ubaidah dilantik menjadi panglima besar tentera Islam bagi menggantikan Khalid ibn Al-Walid untuk menjadi panglima perang di Syria, bagi merebut kembali kawasan tanah Arab yang dijajah oleh kerajaan Rom. Beliau menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis.
Umar bin Al-Khattab r.a. juga amat mengagumi sahabat beliau yang seorang ini. Umar mengkehendaki beliau sebagai calon khalifah selepas beliau. Namun dia meninggal dunia terlebih dahulu akibat suatu wabak pada 640 M.
Beliau juga seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Ketika khalifah Umar Al- Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al-Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja.
“Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu dari harta rampasan perang sebagaimana orang lain mengambilnya?” Tanya Umar al Khattab. “Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup bagiku,” jawab Abu Ubaidah Al-Jarrah.
Ketika para sahabat berselisih pendapat mengenai rombongan ke Amawas ketika berlakunya wabak taun, Abu Ubaidah mengatakan kepada Umar, "Wahai Umar. Apakah kamu mahu lari daripada takdir Allah?" Umar yang merenung wajah Abu Ubaidah kerana merasa segan dengan teguran dan karisma Abu Ubaidah mengatakan, "Sekiranya ada orang lain yang mengatakan perkara itu selain daripada kau wahai Abu Ubaidah, ya. Aku lari dari takdir Allah untuk pergi kepada takdir Allah yang lain."
Setelah penaklukan Baitul Maqdis, beliau telah dilantik menjadi gabenor di salah satu wilayah di Syam. Tidak lama kemudian, berlaku wabak penyakit taun di Syam. Bimbangkan keselamatan sahabatnya, Khalifah Umar Al-Khattab mengirim surat memanggil Abu Ubaidah Al-Jarrah pulang ke Madinah. Namun beliau segera memahami tujuan Khalifah, beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenteranya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri. Beliau menulis surat kepada Umar Al-Khattab.
“Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya, akan tetapi saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah dan izinkanlah saya tinggal di sini.”
Setelah Khalifah Umar Al-Khattab membaca surat itu, beliau menangis sehingga para sahabat menyangka Abu Ubaidah Al-Jarrah sudah meninggal. Umar menjawab, “kematiannya sudah di ambang pintu.”
Sebelum wafat Abu Ubaidah Al-Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, puasalah pada bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”
Setelah Abu Ubaidah Al-Jarrah meninggal dunia, Muaz bin Jabal r.a. mengambil alih tempat beliau lalu berucap di hadapan orang ramai.
“Wahai sekalian kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kewafatan seorang pahlawan, yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah.”
Abu Ubaidah Al-Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijrah (640 M) di Urdun dalam wilayah Syam. Jenazah beliau dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom Byzantine dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.
-Muhammad ibn Murad-
0 comments:
Post a Comment