Rukun usrah ke-2 Al-tafahum

Rukun usrah yang kedua bagi peraturan atau susunan Usrah ialah Tafahum atau bersefahaman . Oleh itu hendaklah saudara-saudara selama-lamanya berpegang kepada kebenaran, iaitu: dengan jalan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan menghentikan apa-apa yang dilarangNya dan saudara-saudara juga hendaklah memeriksa diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada benar-benar ta’at pada perintah Allah atau terlibat ke dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri saudara-saudara hendaklah pula nasihat-menasihati di antara satu sama lain apabila kelihatan sesuatu kecaatan.

Dalam soal nasihat-menasihati ini hendaklah saudara yang diberi nasihat itu bersedia serta sanggup menerima nasihat daripada saudaranya tadi dengan sukacita dan gembira dan memberi ucapan terima kasih atas nasihatnya itu. Saudara yang memberi nasihat itu pula janganlah berubah hati terhadap saudaranya yang tersilap tadi walaupun perubahan perasaan itu sejarak sehelai rambut sekalipun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dengan tidak memandang rendah saudara yang dinasihatinya itu. Orang yang membeir nasihat janganlah mengaggap dirinya lebih mulia bahkan ia hendaklah memberi nasihat dengan cara tidak melahirkan secara terang-terangan (menyembunyikan) akan kesilapan saudaranya itu kira-kira selama sebulan dengan tidak pun menceritakan segala kecacatan yang telah pun diperhatikannya kepada ketuanya (Naqib Usrah). Ia hendaklah menceritakan hal itu kepada ketua usrah jika ia rasa tidak berdaya memperbaikinya. Dalam apa hal sekalipun iaitu janganlah sekali-kali ia merasa tawar hati terhadap saudaranya yang silap tadi, malah hendaklah ia tetap memberi kasih-sayang terus-menerus kepadanya sehinggalah Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendakinya.

Dalam semua hal seperti yang dibentangkan tadi,saudara yang diberikan nasihat pula janganlah menunjukkan kedegilan dan sikap keras kepala malah janganlah ia berubah hati walaupun jarak sehelai rambut sekalipun terhadap saudaranya yang memberi nasihat tadi. Hendaklah difahami bahawa martabat kasih-sayang kerana Allah itu, adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian ‘kasih sayang’ dalam kalangan umat manusia, manakala nasihat itu pula adalah satu-satunya dasar yang amat penting dalam agama Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Ad-Dinun Nasihah” (ertinya: Agama itu nasihah). Oleh itu perhatikanlah sedalam-dalamnya pengajaran yang mulia di dalam hadith Rasulullah SAW ini, mudah-mudahan Allah selamatkan ikatan persaudaran sesama kita dan memperkukuhkan kedudukannya berkat ketaatan kepadaNya dan semoga Allah elakkan kita semua daripada tipu daya syaitan.

Usrah dan Haraqah (Beberapa panduan asas)/Ya’qub Muhammad Hussin


-AR_R-

0 comments: